Thursday, January 15, 2009

PANTUN LAGU

Pantun Lagu Joget Pahang

Dari Melaka pergi ke Pahang
Singgah di Johor beli barangan
Kami mengucap Selamat Datang
Apa yang kurang dikeji jangan

Negeri Pahang aman sentosa
Kaya dengan tumbuh-tumbuhan
Niat di hati nak buat jasa
Mudah-mudahan Tuhan makbulkan

Pukul gendang kulit kerbau
Dalam majlis tari-menari
Kami ini dagang merantau
Mengharap belas orang di sini

Pantun Lagu Sri Mersing

Seri Mersing lagulah Melayu
Dikarang oleh biduan dahulu
Hatiku rungsing bertambah pilu
Mengenang nasib untung diriku

Tidaklah boleh selandak padi
Sekamlah juga ditumbuk luluh
Tidak boleh kehendak hati
Kehendak Allah juga yang sungguh

Tidaklah boleh dikenang-kenang
Airmataku jatuh berlinang
Karam dilaut boleh kurenang
Karamlah di hati bila nak senang?

Pagi-pagi pergi ke sawah
Hendak ditajak pokok mengkudu
Luka ditangan nampak berdarah
Luka dihati siapa yang tahu?

Asal kapas menjadi benang
Dari benang menjadi kain
Barang yang lepas jangan dikenang
Sudah menjadi hak yang lain

Pantun Lagu Tanjung Katung

Di Tanjung Katung airnya biru
Disitulah tempat mencuci mata
Duduk sekampung lagikan rindu
Inikan pula jauh di mata

Kalau tidak kelapa puan
Tidaklah puan kelapa bali
Harap-harap kepada tuan
Tidak tuan siapa lagi?

Pucuk pauh delima batu
Genggam di dalam tangan
Tuan jauh beribu batu
Hilang mata di hati jangan

Pantun Lagu Alamak Kahwinkan Aku

Rumah tepi sawah
Pasang pula langsir biru
Emak jangan marah
Nanti emak dapat menantu

Buah langsat tiga serangkai
Masak sebiji ke Tanah Jawa
Apalah ilmu cik adik pakai
Makin tersenyum makin ketawa

Tanam pinang rapat-rapat
Biar senang puyuh berlari
Kupinang-pinang tak dapat-dapat
Kupujuk-pujuk kubawa lari

1 comment: